Jumaat, 7 Oktober 2011

          Mansuh yuran sekolah keputusan berani


  Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyifatkan pemansuhan yuran sekolah rendah dan menengah sebagai keputusan berani oleh kerajaan untuk menanggung sepenuhnya kos pendidikan negara.
Timbalan Presiden GPMS, Rosdi Amir berkata, keputusan tersebut merupakan langkah ke depan seperti yang dilakukan di negara maju.
"Ini adalah langkah ke arah persediaan sebagai negara maju seperti yang disasarkan menerusi gagasan 1Malaysia: Rakyat Dahulukan, Pencapaian Diutamakan dan keputusan itu membuktikan komitmen kerajaan.
"Pemansuhan ini membuktikan bidang pendidikan adalah sektor terpenting negara dalam melahirkan modal insan yang memiliki sifat warga glokal kelas pertama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi GPMS Johor mengulas langkah kerajaan dalam memansuhkan yuran tersebut yang dibentangkan pada Bajet 2011 petang ini.
Rosdi berkata, langkah itu adalah cerminan kerajaan dalam melaksanakan proses transformasi yang dirangka sebelum ini semata-mata untuk kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan yuran atau bayaran persatuan itu.
Katanya, langkah tersebut hanya akan menggagalkan usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat dan dilihat seolah-olah mahu mengambil kesempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KOMEN ANDA ADALAH SATU CARA PENYESAIAN UNTUK MEMAJUKAN BLOGSPOT INI.